Kecelaruan Istilah Yang Mengundang Susah

16 12 2007

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu katakan (kepada Muhammad) : “Raaina” tetapi katakanlah “Unzhurna” dan dengarlah. Dan bagi orang-orang yang kafir siksaan yang pedih.” [Al-Baqarah : 104]

Sama ada istilahnya raa’inaa atau pun undhurnaa, kedua-duanya memberikan makna yang sama. Kedua-duanya mendatangkan maksud “dengarlah kami”. Tetapi kalimah raa’ina itu mempunyai konotasi negatif di sisi kaum Yahudi yang mempersendakan Rasulullah SAW dengan bermain istilah, lantas kaum mukminin diajar untuk tidak membiarkan diri mereka terfitnah dalam permainan kata yang kotor tersebut. Lantas gunakanlah kalimah undhurnaa dan bukannya raa’ina.

Sesungguhnya ayat di atas mengajar kita agar mendisiplinkan penggunaan istilah kerana konotasi perkataan tertentu boleh menjadi negatif juga positif, bergantung kepada penggunaan, persekitaran dan subjek yang diperkatakan.

Islam mementingkan ketepatan istilah.

Soal kepentingan istilah dalam hal-hal ilmiah, bukanlah suatu perkara yang asing kerana metodologi ilmuan Islam sejak sekian lama, sudah pun mempraktikkannya secara konsisten. Apa sahaja perkara yang diperbahaskan, ia lazim bermula dengan penjelasan tentang asal usul kalimah, pengertiannya secara bahasa dan istilah. Tentukan makna, sebelum memanjangkan kalam dan bicara.

Tetapi, disiplin ini juga harus terserap di dalam kata-kata seharian kita, dan ia menjadi cabaran kepada penulis dan penceramah untuk lebih teliti dalam mengungkapkan perkataan, dalam kehidupan seharian kita.

Di dalam siri kolum mingguan SS Mufti Perlis yang disiarkan di Mingguan Malaysia, kedapatan beberapa istilah yang memerlukan kepada penelitian agar ia tidak memberikan tanggapan yang silap justeru mengundang tindakan yang tidak tepat. Artikel yang saya maksud itu adalah “CAKAP ORANG RAMAI BUKAN PENENTU KEBENARAN” bertarikh 9 Disember 2007 dan ” PEMBERONTAKAN KUASA: ANTARA EMOSI DAN PENILAIAN SEIMBANG” bertarikh 16 Disember 2007. Kedua-dua artikel ini boleh dibaca sepenuhnya di halaman web SS Mufti Perlis di http://drmaza.com/.

MEMBERIKAN PENGHARGAAN

Secara asasnya, saya amat mengharapkan agar nasihat-nasihat yang dikemukan oleh SS Mufti Perlis di dalam kedua-dua artikel itu diterima secara terbuka, khususnya oleh gerakan Islam di Malaysia kerana ia mempunyai peringatan yang mesti diambil kira secara serius. Persoalan akhlak dalam menerima dan menyampaikan maklumat, adalah sangat asas dalam setiap agenda Islam yang dilaksanakan.

Renung sahaja janji Allah SWT di dalam surah al_Maidah ayat 54:
Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi meliputi pengetahuanNya. [Al-Maidah : 54]

Seandainya kemunculan sebuah jamaah Islam itu adalah sebagai reaksi kepada gejala berbondongnya manusia berpaling dari agama Allah, maka perkumpulan Islam mestilah sedar bahawa kewujudan mereka itu hanya terhitung di sisi Allah jika Allah kasih kepada mereka dan mereka kasih kepada-Nya.

Allah SWT tidak akan datang kepada manusia untuk memberitahu bahawa Dia sayangkan mereka, tetapi kasih sayang Allah itu muncul pada sayangnya mereka itu kepada Allah SWT. Ukuran kasih sayang Allah kepada mereka, harus bermula dari komitmen mereka dalam membuktikan cinta dan kasih kepada Allah.

Bagaimanakah kasih kita kepada Allah itu? Iaitulah dengan iltizam kita kepada suruhan-Nya. Jalannya juga terang, iaitu pada mematuhi dan mencontohi Nabi SAW dalam Aqidah, Ibadah dan Akhlaq.
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani [Ali Imran : 31]

Sama ada sebuah perkumpulan Islam itu bergerak di atas landasan NGO, dakwah secara individu dari masjid ke masjid atau rumah ke rumah, mahu pun yang bergerak di landasan politik pemerintahan, maka kesemuanya harus mengekalkan diri di dalam lingkungan suasana mereka dan Allah SWT itu saling kasih mengasihi.

Dengan sikap sekalian kita di antara satu sama lain, bisakah Allah menyayangi kita?

Dengan sikap sekalian kita di antara satu sama lain, mampukah kita mendakwa yang cara kita itu adalah cara kita menyintai Allah?

Cukup dengan dua soalan ini, untuk kita berlapang dada menerima nasihat-nasihat yang bermaksud meluruskan sikap dan amalan kita agar sesuai dengan nama Islam yang dibawa.

Bermula dari tamadun sepurba era Ikhnaton di Mesir, mahu pun Greek dan Roman, hingga pada jatuh bangunnya umat Islam, jangan ada sekelumit rasa memperlekehkan pentingnya soal akhlak dan mulia kata… kerana di situ terkesan simptom jatuh bangunnya tamadun manusia. Lantas saranan SS Mufti Perlis kepada kita semua agar serius dalam melakukan pembaikan kepada akhlak, jangan tersesia oleh sempit jiwa dan sinikal minda.

ISU ISTILAH

Namun, saya ingin menumpukan perhatian kepada beberapa isu penting berkaitan dengan penggunaan istilah, agar artikel SS Mufti Perlis dapat ditempatkan di kedudukan yang mendatangkan manfaat kepada semua, dan saya maksudkan semua itu sebagai SEMUA.

Di dalam artikel “CAKAP ORANG RAMAI BUKAN PENENTU KEBENARAN” bertarikh 9 Disember 2007, saya melihat isu yang diketengahkan oleh SS Mufti Perlis, adalah berkisar pada soal pandangan majoriti dan kedudukannya di dalam beberapa aspek kehidupan. Akan tetapi pandangan majoriti yang disentuh di dalam artikel tersebut mencampur adukkan beberapa persoalan berikut:

  • pungutan suara
  • desas desus
  • kuantiti pengikut
  • pandangan popular
  • paling utama… soal demokrasi

Kesemua lima subjek di atas diperkatakan oleh SS Mufti Perlis berasaskan kepada terbit setiap satunya daripada soal majoriti. Akan tetapi, kelima-lima subjek ini tidak boleh diguna sebagai kata bebas yang saling menggantikan di antara satu sama lain kerana masing-masing mempunyai konotasi dan implikasi yang berbeza, malah mungkin bertentangan.

Bermula dari teguran SS Mufti Perlis terhadap sikap masyarakat yang mudah dipengaruhi oleh desas desus dan pandangan popular yang berpotensi mengorbankan kebenaran, ia mencapai kemuncaknya apabila beliau menyebut:

Sebab itu saya begitu kehairanan apabila ada pertubuhan atau individu yang memakai lebel Islam tetapi memekik secara terbuka ‘kami pejuang demokrasi tulen’. Apakah mereka tidak sedar bahawa dalam demokrasi tulen yang difahami oleh pejuangnya ‘suara ramai mengatasi suara Tuhan’. Sedangkan dalam Islam suara ramai dihormati tetapi tidak boleh memadamkan hakikat kebenaran. Jika demokrasi dalam acuan asalnya hendak dibawa ke negara ini, terpadamlah wajah agama ini keseluruhannya nanti. Demokrasi kita hendaklah tunduk kepada acuan Islam. Jika tidak suara ramai akan muncul sebagai tuhan baru dalam kehidupan.

Jika kenyataan di atas bertujuan menegur sikap gerakan Islam seperti PAS atau mungkin juga PKR, ABIM dan JIM, maka ia tidak sekadar teguran kepada salah konsep dalam perjuangan, malah kenyataan ini secara langsung mempertikaikan  foundation Malaysia itu sendiri sebagai sebuah negara yang komited terhadap prinsip demokrasi.

DEMOKRASI TULEN

Jika ada mana-mana individu berlabel Islam atau pertubuhan berlabel Islam, memekik secara terbuka ‘kami pejuang demokrasi tulen’, saya berpandangan, SS Mufti Perlis tidak harus secara simplistik mengandaikan bahawa demokrasi tulen yang pemekik itu maksudkan ialah demokrasi yang bermaksud “suara ramai mengatasi suara Tuhan”.

Apakah dengan segala label Islam yang dibawa oleh pemekik itu, mereka boleh begitu culas melaungkang “kami pejuang suara majoriti biar pun ia mengatasi suara Tuhan!”. Ia suatu ungkapan yang besar, sebesar implikasinya itu sendiri.
Kematian Socrates atas nama ‘demokrasi’

Secara prinsip, adalah tidak mudah untuk demokrasi tulen itu didefinisikan secara muktamad. Biar pun secara etimologinya, kalimah Greek ‘demos’ dan ‘Kratia’ itu boleh diterjemahkan secara langsung sebagai ‘orang ramai’ dan ‘pemerintahan’, namun demokrasi tidaklah secara mudah diterjemahkan sebagai pemerintahan oleh orang ramai, lantas ia mengatasi suara Tuhan!

Pendefinisian demokrasi mengalami proses yang amat panjang, bermula dari khilaf muktabar antara Socrates dan Plato, juga Aristotle hinggalah kepada era Thomas Aquinas dan Niccolo Machiavelli, kefahaman dan perlaksanaan prinsip demokrasi berubah dan berkembang secara dinamik. Suntikan kebebasan nilai dalam doktrin Machiavelli, ke arah pemisahan mutlaq antara soal pemerintahan dan agama bukanlah satu-satunya rujukan kita dalam memahami demokrasi Barat. Malah era John Locke, Jean-Jacques Rousseau sudah jelas memperlihatkan pertikaian mereka kepada kemutlakan doktrin Machiavelli itu. Barat terus berusaha mencari keseimbangan dalam pendefinisian demokrasi untuk sebuah pemerintahan yang dapat melaksanakan matlamat besarnya, iaitu keadilan.

Keluasan khilaf yang berlaku memperlihatkan kepada kita bahawa democratic capitalism dan democratic socialism sangat berbeza, malah ilmuan di dalam setiap kelompok ini juga mempunyai pelbagai pandangan yang berbeza sesama kelompok mereka sendiri.

Demokrasi pernah memberi maksud pemerintahan majoriti rakyat lantas ia dianggap menyerahkan pemerintahan kepada golongan pertengahan dan rendah serta mengorbankan kumpulan atasan yang lebih ilmu dan lebih segalanya, memandangkan majoriti rakyat adalah dari golongan pertengahan dan bawahan ini. Kemudian demokrasi juga dalam masa yang sama dianggap di alam realiti sebagai pemerintahan segelintir minoriti elit, lantas demokrasi terus terperangkap di antara menyeimbangkan kuasa majoriti dan kuasa minoriti serta ketuanan suara rakyat.

Demokrasi tulen, tidak mampu ditafsirkan secara simplistik sebagai sistem yang mengutamakan suara ramai mengatasi suara Tuhan. Dan saya tidak percaya, ketika mana-mana pertubuhan atau individu berlabel Islam memekikkan komitmennya kepada demokrasi tulen, pekikan itu menafikan hakimiyyah Allah SWT.

Justeru, menjadi suatu tanggungjawab kepada penegur dan pihak yang ditegur untuk sama meneliti kembali, apakah sebenarnya yang kita fahami dan kehendaki dari istilah demokrasi?

Al-Quran sering menyebut sebagaimana yang dikutip oleh SS Mufti Perlis di dalam artikelnya, bahawa majoriti manusia itu cacat ilmu dan akhlaqnya lantas berkemungkinan gagal membuat keputusan yang betul (misalnya al-Quran 5:49, 6:116, 7:187, 10:60, 10:92, 11;17, 12;40, 12:68, 12:103, 13:1, 16:38, 17:89, 25:50, 30:6, 30:8, 30:30, 34:28, 34:36, 37:71, 40:57, 40:59, 40:61, 45:26). Tetapi al-Quran juga tidak pernah meletakkan suatu prinsip bahawa mendapatkan pandangan segelintir pasti mencegah dari keputusan yang salah. Majoriti mungkin boleh melakukan kesalahan, tetapi kesalahan majoriti kurang kebarangkaliannya berbanding kesalahan sekumpulan kecil manusia. Melakukan kesalahan adalah lumrah manusia, maka semua peringkat manusia mesti memberikan yang terbaik dalam usaha mereka untuk membuat keputusan yang betul.

Malah catatan sirah Nabi SAW dan generasi Islam yang awal juga tidak mengkesampingkan keperluan merujuk kepada pandangan ramai. Ketika Umar al-Khattab Radhiyallahu ‘anhu mencalonkan 6 penggantinya, penentuan antara enam itu adalah individu yang memperolehi undian terbanyak. Malah Nabi SAW juga mengingatkan kita agar terus beriltizam dengan golongan majoriti (al-sawaad al-a’dham) ketika berlakunya khilaf yang kritikal (hadith riwayat Ahmad ibn Hanbal dan Ibn Majah).

Pandangan majoriti tidak mutlak kekurangannya, sebagaimana tidak mutlak kelebihan yang ada padanya. Ia harus dilihat dari sudut yang pelbagai.

APA YANG DIMAHUKAN OLEH PEJUANG DEMOKRASI TULEN?

Apabila PAS sebagai sebuah parti politik yang berdaftar secara sah dan berperanan sebagai sebuah parti pembangkang (kecuali di Kelantan) melaungkan komitmennya kepada demokrasi tulen, ia tidak harus lari daripada merujuk kepada prinsip-prinsip demokrasi asas yang disepakati bersama oleh rakyat Malaysia.

Apabila slogan demokrasi tulen dilaungkan, maka ia adalah ekspresi yang mahukan DEMOKRASI BERPARLIMEN dilaksanakan mengikut lunas-lunasnya. Hak kebebasan rakyat untuk bersuara dan memberikan pandangan dijamin, hak parti pemerintah dan parti pembangkang untuk sama-sama berpeluang memberikan maklumat dan pendidikan kepada masyarakat tentang polisi-polisi yang mengatur hidup mereka, jaminan ketelusan kuasa kehakiman, perundangan dan eksekutif daripada didominasi oleh mana-mana pihak secara salah, dan seterusnya menuntut agar yang bersalah ditangkap dan dibicarakan secara adil, manakala yang tidak bersalah jangan dizalimi, inilah inti pati yang diperjuangkan oleh mereka yang menuntut ketulenan demokrasi, kerana mungkin atas nama demokrasi itu sendiri, pihak berkuasa boleh menzalimi mereka yang tidak bersalah.

Mungkin atas demokrasi juga, tindakan memenjarakan individu tanpa sabitan jenayah dan hak dibicarakan, cuba dijustifikasikan. Atas nama demokrasi juga, mungkin ada pihak yang mahukan kebebasan segalanya yang mendatangkan mudarat kepada rakyat dan negara. Maka laungan demokrasi tulen adalah laungan yang menuntut perkara-perkara asas ini, bukannya menuntut agar Malaysia mengenepikan suara Tuhan demi suara ramai yang memberi sokongan!

Apabila SS Mufti Perlis mempertikaikan kewibawaan peranan suara ramai, apakah yang cuba beliau cadangkan? Menolak pembabitan masyarakat dalam pilihanraya? Menolak kewibawaan parlimen dalam memutuskan apa yang baik dan apa yang tidak baik untuk masyarakat? Mempertikaikan kerajaan Barisan Nasional yang memerintah dengan mandat majoriti? Apakah yang cuba dijustifikasikan di dalam artikel itu apabila suara ramai, dan demokrasi tulen dikritik oleh beliau?

Oleh yang demikian, saya berpandangan, persoalan demokrasi dan kewibawaan pandangan ramai dengan segala nas dan dalilnya, hendaklah diasingkan daripada isu ‘sebenar’ yang ingin diperkatakan oleh SS Mufti Perlis di dalam artikel tersebut.

Saya melihat, SS Mufti Perlis sebenarnya cuba menegur sikap masyarakat kita yang begitu mudah terpengaruh kepada desas desus, cakap orang ramai, serta populariti sesuatu isu tanpa mengambil kira tentang kesahihan berita yang diterima. Dan saya yakin, sebagai seorang public figure, SS Mufti Perlis sendiri banyak diasak oleh kelakuan sumbang masyarakat yang menabur pelbagai fitnah dan tuduhan melulu yang terbabas dari realiti sebenar. Tidak setakat populariti kecaman terhadap peribadi beliau, malah negeri Perlis juga dituduh dengan pelbagai tuduhan popular, diminati ramai, sensasi, tetapi jauh dari realiti dan rujukan Islam yang suci.

Maka hadkanlah perbincangan SS Mufti Perlis dan tegurannya itu kepada subjek yang dituju. Jangan pula dikaitkan ke sana sini, hingga sekali lagi menyebut:

Ketamakan politik jika telah memenuhi nafsu diri seseorang boleh menyebabkan dia melupai segala. Ia boleh membutakan mata terhadap kepentingan umat dan masa depan negara. Maka tidak hairanlah jika ada orang muslim yang berpakat dengan bukan muslim untuk menjatuhkan pemerintah muslim. Sedangkan dia sendiri pun tidak dapat memberi jaminan apakah yang akan terjadi seterusnya setelah mereka yang bukan muslim menumpaskan negara muslimnya.

Muslim yang berpakat dengan bukan Muslim untuk menjatuhkan pemerintah Muslim itu siapa sebenarnya dalam konteks Malaysia? Apakah SS Mufti Perlis mahu secara liar mengaitkan BERSIH dengan Hindraf? Atau apakah SS Mufti Perlis merujuk kepada kerjasama di antara PAS dan DAP suatu masa dahulu? Apakah ini dianggap sebagai suatu pemberontakan kuasa? Kenyataan ini mempunyai implikasi yang pelbagai dan serius.

Apakah SS Mufti Perlis mahu berkata bahawa isu antara DAP dengan UMNO (atau Barisan Nasional?) adalah isu pertentangan di antara Islam dan bukan Islam? Lantas kerjasama PAS itu adalah kerjasama Muslim dengan non Muslim untuk menjatuhkan Muslim?

Jangan bermain dengan singgungan sebegini, dan jika SS Mufti Perlis tidak mahu mengambil tahu tentang latar belakang kerjasama ini dari pemimpin PAS, maka tanyalah kepada ilmuan seperti Sheikh Yusuf al-Qaradhawi, Muhammad Salim al-Awa dan Rachid Ghannouchi mengenainya.

Saya sendiri secara peribadi menerima nasihat tentang akhlaq itu sebagai nasihat dari seorang tokoh penting, bukan sahaja untuk pembaikan diri, tetapi juga sebagai suatu nasihat yang mesti diterima oleh pendakwah dan ahli politik Islam, bahawa di atas kapasiti apa sekali pun kita beraktiviti, dalam politik atau ekonomi, dalam cinta atau dalam amarah, kita semua terikat kepada kewajipan memuliakan kebenaran dan menghindarkan diri dari prasangka, fitnah dan tuduhan melulu, biar sepopular mana sekali pun segalanya itu.

Tetapi saya khuatir dengan cabang-cabang yang muncul dari teguran itu, yang kelihatannya tidak adil kepada banyak pihak.

PEMBERONTAKAN

Manakala di dalam artikel ” PEMBERONTAKAN KUASA: ANTARA EMOSI DAN PENILAIAN SEIMBANG” bertarikh 16 Disember 2007 pula, isu yang diperkatakan oleh SS Mufti Perlis adalah berkaitan dengan persoalan “menegur pemerintah secara terbuka”.

Apa yang diperkatakan kali ini oleh SS Mufti Perlis tentang kedudukan menegur pemerintah secara terbuka itu tidak mempunyai pertentangan dengan pendirian saya sebagaimana yang telah disebutkan di dalam artikel “AGAMAKU BERDIRI DI ANTARA DUA JANGAN“.

Apabila saya mengkritik segelintir golongan ultra salafi yang tidak mengharuskan perbuatan menegur pemerintah secara terbuka, saya tidak sama sekali bermaksud mempertahankan teguran yang penuh cacian dan maki hamun. Tidak ada khilaf, bahawa teguran dan kritikan secara cacian dan maki hamun itu amat bertentangan dengan Islam, biar atas nama apa sekali pun ia dilakukan. Apatah lagi dengan menganggap cacian dan maki hamun itu sebagai ‘kerja Islam’.

Tetapi apa yang menjadi tumpuan saya ialah apabila golongan ultra salafi secara prinsipnya menganggap bahawa kedudukan pembangkang atas nama sebuah parti Islam, adalah salah secara prinsip kerana antara fungsi pembangkang ialah mengkritik pemerintah. Wujudnya pembangkang atas nama Islam adalah suatu sistem yang salah. Maka bukan soal akhlaq yang dipertikaikan tetapi institusi pembangkang secara keseluruhan. Maka sama ada pembangkang menegur mengikut lunas-lunas moral dan akhlaq Islam, atau pembangkang menegur dengan bahasa rendah, maka kedua-duanya secara prinsip, bertentangan dengan Islam, menurut kefahaman kumpulan ultra salafi ini.

Inilah yang menjadi titik pertikaian saya. Pepatah Melayu mengistilahkan pendirian ultra salafi ini sebagai lebih sudu dari mangkuk, apabila mempertikaikan legaliti PAS lebih dari pertikaian UMNO dan Barisan Nasional sendiri terhadap PAS.

Lanjutan daripada tidak harusnya wujud pembangkang atas nama Islam, ia berlarutan hingga kepada melabelkan pembangkang sebagai Khawarij, pemberontak paling terkenal dalam sejarah Islam.

ISTILAH PEMBERONTAK

Di sini saya merasakan bahawa tidak wajar SS Mufti Perlis membahaskan soal menegur pemerintah secara terbuka di bawah tajuk ” PEMBERONTAKAN KUASA: ANTARA EMOSI DAN PENILAIAN SEIMBANG“. Kepada siapakah dirujuk istilah PEMBERONTAK dan PEMBERONTAKAN itu?

Apakah bangkangan parti pembangkang itu secara prinsipnya dianggap sebagai suatu pemberontakan? Malah tidak keterlaluan jika saya tanyakan kepada SS Mufti Perlis, apakah satu perhimpunan bertarikh 10 November 2007 itu juga mahu ditafsirkan sebagai suatu pemberontakan?

Istilah PEMBERONTAK dan PEMBERONTAKAN KUASA adalah suatu istilah yang besar. Sebesar kesannya sendiri ke atas masyarakat dan negara. Jika istilah itu mahu dirujuk kepada contoh seperti al-Ma’unah yang disabitkan di bawah akta 121 yang membawa hukuman mati kerana melancarkan pemberontakan terhadap Yang Dipertuan Agong, maka saya dapat melihat justifikasinya.

Tetapi untuk mengkritik pembangkang dengan menggunakan istilah pemberontakan kuasa, ia wajar dielakkan kerana istilah pemberontakan itu mempunyai konotasi yang SANGAT PROVOKATIF.

BERLAKU ADIL

Sebagaimana yang diseru sendiri oleh SS Mufti Perlis di dalam artikelnya “BERSIKAP ADIL DALAM PENILAIAN“, saya menyeru kepada kita semua agar adil dalam tutur kata dan perbuatan. Ada banyak titik temu antara pandangan saya dan SS Mufti Perlis, biar pun khilafnya yang sering mendapat perhatian.

SAYA BERSETUJU dengan sepenuh hati tentang perlunya semua pihak mendisiplinkan pengikut masing-masing di dalam soal akhlaq. Politik Malaysia ketandusan akhlaq baik dari parti pemerintah, mahu pun dari parti pembangkang.

Maka SS Mufti Perlis harus mengoptimumkan peranannya meluruskan sikap pemimpin-pemimpin dari parti pemerintah agar beriltizam dengan akhlaq Islam khususnya menjelang Pilihanraya Umum akan datang. Akhlaq pemerintah bukan hanya pada menjauhkan diri dari akhlaq peribadi yang kotor, malah turut menghukum pesalah melalui perbicaraan yang adil, dan bukannya tanpa segan silu menggunakan ISA secara angkuh.

SS Mufti Perlis dan pasukannya juga harus giat mendisiplinkan golongan salafi, khususnya dari kelompok muda agar memperbaiki tutur kata dan berusaha meramaikan kawan, berbanding lawan.

Dalam masa yang sama, Kepimpinan PAS juga mesti serius dalam memberikan peringatan kepada petugas pilihanraya dan keseluruhan ahlinya supaya terus komited dengan akhlaq Islam sama ada di dalam ceramah, kempen, forum internet atau di mana sahaja bahagian bumi ini yang dikenalpasti milik Allah SWT! Apatah lagi dengan nama Islam yang dibawa, kecacatan akhlaq dalam percakapan dan tindakan, bukan sahaja merugikan Parti, malah menjadi fitnah kepada Islam itu sendiri. Selagi mana PAS bertolak ansur dalam soal akhlaq, selagi itulah impian memperolehi kemenangan akan tinggal angan-angan dan mimpi.

SAYA BERSETUJU dengan seruan SS Mufti Perlis agar semua pihak yang cenderung kepada demonstrasi jalanan supaya menghitung secara serius kesan langsung tindakan yang mereka lakukan itu kepada masyarakat. Saya secara prinsip tidak menolak secara mutlak usaha mengadakan perhimpunan kerana ia adalah sebahagian daripada peruntukan demokrasi itu sendiri. Tetapi saya mengharapkan agar soal keamanan tidak dipandang remeh atau tidak penting.

SAYA TIDAK BERSETUJU hanya pada penggunaan istilah yang tidak tepat, provokatif, sinikal, keterlaluan dan di luar konteks, sama ada di dalam artikel SS Mufti Perlis, atau mana-mana pihak termasuk artikel saya sendiri yang terbuka kepada pembetulan dan teguran.

Apa yang kita harapkan ialah semua pihak sama ada yang memerintah atau diperintah, yang mengajar atau yang belajar, kesemuanya beriltizam dengan pendirian Islam yang memuliakan akhlaq, keadilan dan kebenaran.

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com/

56000 Kuala Lumpur


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: