Agama dan Politik

1 12 2007

Siasah di sisi cendekiawan barat

Kita akan sempurnakan perbincangan ini dengan turut membincangkan walaupun sedikit mengenai maksud politik di sisi cendekiawan barat yang sedang menguasai dunia kini, khususnya di era hegemoni Amerika yang juga semacam memaksakan ilmu dan tamadun mereka untuk dianuti oleh seluruh dunia. 

Kita tidak boleh mengabaikannya sekalipun kita menolak politik penjajahan dan tamadun penjajahan mereka. Kita beriman dengan kepelbagaian bangsa, ilmu, bahasa, ugama dan politik.

Mahu atau tidak,  kita terpaksa akur bahawa sebahagian besar pertubuhan, majlis dan muassasah ilmiah dan pemikiran kita masih terkesan dengan barat sebagai rujukan. Kita banyak mengambil daripada mereka dalam kajian kita tentang sosial, kemanusiaan terutamanya dalam kajian politik.

Kita tumpukan kepada pentakrifan politik di sisi mereka.

Sebenarnya takrif politik di sisi barat saling berbeza berdasarkan haluan dan sudut pandang masing – masing. Politik di sisi golongan liberal tak sama dengan lawannya. Politik di sisi kapitalis yang menjulang hak individu tak sama dengan golongan sosialis yang menumpu kepada hak – hak masyarakat. Begitulah perbezaan yang dilihat di kalangan golongan komunis, ekonomi bebas dan selainnya.

Juga perbezaan yang dapat dilihat di antara golongan ugama yang jumud yang menganggap usaha menolak penyakit dan wabak sebagai menolak takdir tuhan dan golongan perubatan yang menyeru kepada pembaikan kesihatan awam. Malah kumpulan yang masih berpegang dengan kemuliaan akhlak dan ugama yang menentang kebebasan mutlak dan menolak penularan gelaja seks bebas tentunya cukup berbeza pentakrifan mereka mengenai politik dengan golongan yang menghalalkan segala – galanya demi melampiaskan kehendak nafsu buas manusia sehingga menerima perkahwihan sejenis dan pergaulan bebas yang di tolak oleh seluruh ugama.  

Kami sebutkan di sini beberapa contoh:

1- Hans Murghantao (?) berkata: Politik adalah perbalahan demi merebut kekuatan dan kuasa.

2- Harold Laswil (?) berkata: Politik adalah kekuasaan dan penguasaan yang menentukan; Siapa menguasai apa? Bila? Dan bagaimana?

3- William Robson (?) berkata: Sesungguhnya ilmu siasah berteras kepada pengajian terhadap kekuasaan ke atas masyarakat, pengajian asas – asasnya, amalan praktiknya, tujuan dan natijahnya.

Semua takrif di atas berkisar mengenai kuasa dan kekuatan.

Jan Bari Dankan (?) mengupas dengan panjang lebar persoalan ‘apakah politik?’ dalam bukunya ‘Ilmu Politik’. Katanya, Penggunaan kalimah politik terbahagi dua iaitu penggunaan secara nau’ieyah dan bukan nau’ieyah ( tertentu dan bukan tertentu ). Bukan khas bermaksud penggunaan kalimah politik yang mudah ditukar dengan kalimah yang seerti dengannya. Contohnya:

1- Penggunaan kalimah politik dalam erti mengurus seperti politik (pengurusan) pengangkutan dan politik ( pengurusan) tenaga.

2- Penggunaan kalimah politik dalam erti strategi seperti politik (strategi) parti dan politik ( strategi ) kerajaan.

3- Penggunaan kalimah politik yang bermaksud penghinaan seperti berfikir secara yang kotor yang membawa kebencian. Ini biasanya dituju kepada seseorang untuk tujuan mencela perbuataannya seperti kata – kata ” Ini politiknya lah.”     

Inilah yang saya faham daripada Al Imam Muhammad Abduh di mana beliau dikatakan pernah berkata ” Saya berlindung dengan Allah daripada politik.” Tetapi saya kurang cerap tentang kesahihan kata – kata ini daripadanya.

Dankan menyatakan bahawa penggunaan kalimah politik secara nau’ieyah  pula hendaklah dibezakan antara politik dan perkara – perkara lain yang bercampur baur dengannya yang membawa erti yang berbeza seperti teknokrat, politik dan ekonomi dan politik dan akhlak.

Apapun, kalimah politik yang digunakan oleh barat adalah berkisar pada dua tujuan yang asas: Pertama, kekuatan dan penguasaan. Kedua, Kepentingan dan manfaat.

Pada pandangan Islam, tiada tegahan pada menuntut kekuatan tetapi hendaklah ia menjadi alat untuk mendukung kebenaran (al haq). Kekuatan bukan sebagai matlamat. Umat Islam selama – lamanya hendaklah bersama kekuatan kebenaran, bukan kebenaran kekuatan. Kekuatan apabila terpisah daripada kebenaran akan menjadi bahaya yang menggugat golongan yang lemah yang tiada upaya dan daya sebagaimana Allah Ta’ala menggambarkan kejahatan kaum ‘Aad dalam surah Fussilat:15 yang bermaksud:

” Adapun ‘Aad, mereka telah berlaku takabbur di muka bumi tanpa kebenaran. Mereka berkata, siapakah yang lebih kuat daripada kami? Tidakkah mereka lihat bahawa Allah yang menciptakan mereka itu lebih kuat daripada mereka? Dan mereka terus menentang ayat -ayat kami.”

Nabi Hud mengeluarkan mereka daripada kebejatan kekuatan dan menyeru kepada iltizam dengan kebenaran. Apabila mereka ingkar, Allah menghantar azabNya yang pedih.

Adapun kepentingan (maslahat), ia diterima pakai oleh syari’at Islam. Bahkan Allah tidak mensyari’atkan sesuatau hukum kecuali demi kepentingan hambaNya di dunia dan akhirat. Setiap masalah yang keluar daripada maslahat dan menuju kerosakan maka ia bukan daripada syari’at.

Al Maslahatul Mursalah iaitu sesuatu kepentingan yang tiada nas yang menerima atau menolaknya juga termasuk dalam salah satu daripada dalil – dalil syara’ yang diterima pakai, sebagaimana diterangkan oleh Imam Malik dan mazhab – mazhab lain juga.    

Tetapi maslahat yang mengikat politik di dalam Islam dan juga percakapan barat itu bukanlah bererti setiap apa yang memberi kelazatan kepada manusia atau bermaksud pengumpulan kepentingan secara peribadi tanpa menghiraukan kerugian orang lain dan melanggar susila dan santun.

Bahkan syara’ menjelaskan maslahat yang dimaksudkan dan mengikatnya dengan matlamat – matlamat syariat yang menjaga ugama, nyawa, akal, keturunan dan harta sebagaimana akan dijelaskan nanti dalam tajuk ‘nas dan maslahat’.


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: