Memaknakan Dunia Dengan Akhirat

25 09 2007

#dipetik daripada saifulislam.com

je_02_big.jpg
REDA….Norazian Bistaman menyiram kubur Nurin Jazlin sambil diperhatikan oleh Jazimin Abdul Jalil dan dua orang anaknya Nurin Jazshira dan Nurin Jazrina. – Utusan Malaysia 22 September 2007

Semenjak seminggu lalu, setiap hari saya membeli dua atau tiga surat khabar walaupun semuanya banyak bercakap tentang tajuk yang sama. Saya membelinya kerana keresahan jiwa. Gelisah, resah dan rasa tidak tentu hala.

Semuanya kesan daripada peristiwa yang menimpa keluarga Encik Jazimin Abdul Jalil, tentang kehilangan anaknya Nurin Jazlin, yang berakhir dengan kesudahan yang sangat-sangat menyedihkan.

Maafkan saya kerana ada di kalangan pengunjung Saifulislam.Com yang terkilan lantaran saya tidak memberikan sebarang komen tentang kejadian malang itu. Saya tidak boleh menulis apa-apa kerana memikirkannya sudah cukup menyebabkan saya gelisah, sakit kepala dan tidak selesa. Juga, bukan cara saya untuk menulis sekadar menulis. Saya perlu menetapkan matlamat, sebelum saya mula menaip dan mencatat.

Apa yang boleh saya tuliskan?

Setiap hari di IJN saya melihat kanak-kanak yang sakit, kemudian disusuli dengan berita malang yang menimpa anakanda Nurin Jazlin, saya hanya mampu memeluk anak-anak sendiri, mengucapkan sedalam-dalamnya rasa syukur kepada Allah kerana ketiga-tiga cahaya mata saya berada di dalam keadaan yang sempurna.

Apa yang merunsingkan saya kini ialah masyarakat kita. Negara kita.

Kita sedang melangkah masuk ke setahap lagi pada apa yang telah membelenggu negara gila seperti Amerika Syarikat. Ketika berbual dengan isteri saya tentang pesakit-pesakit mental yang datang ke hospital, kami pernah berkata bahawa dalam masa 10 tahun akan datang, Malaysia akan berdepan dengan wujudnya pembunuh bersiri!

Pembunuh bersiri yang bukan lagi samseng seperti Botak Chin atau Bentung Kali. Bukan orang yang membunuh kerana mahu mempertahankan diri, atau mahu mencuri, atau merompak, tetapi pembunuh yang mencari keseronokan dan kepuasan dengan menyeksa mangsa dan membunuh mengikut corak-corak yang tertentu.

MENGAPA MALAYSIA MENUJU KE SITU?

Kejadian kanak-kanak didera semakin berleluasa. Buang anak sudah tidak terkira. Lelaki membuntingkan perempuan tanpa perkahwinan macam sudah tidak berkesudahan. Institusi kekeluargaan kita semakin hancur dan inilah elemen-elemen yang menghasilkan pembunuh bersiri. Mangsa penderaan adalah calon paling berpotensi untuk menjadi pembunuh bersiri.

Mampukah kita berdepan dengan kewujudkan penjenayah seksual terhadap kanak-kanak di kawasan kejiranan kita dalam keadaan sikap mementingkan diri sendiri masih menebal dalam budaya kita?

Dalam masa yang sama, sejauh manakah perkembangan ilmu psikiatri dan psikologi di dalam masyarakat kita? Mereka yang menghadapi tekanan emosi semakin serius. Berapa ramai anggota msyarakat kita yang dibelenggu gangguan jiwa seperti Schizophrenia? Sejauh mana kesedaran masyarakat ada mengenainya? Sejauh mana peluang rawatan ada dan dimanfaatkan?

Sejauh mana media massa kita serius dalam mendidik masyarakat agar memahami kepentingan hal ini?

Jika media mahu bersetuju dengan saya bahawa agama harus diambil secara seruis sebagai penyelesaian, maka, berapa banyak nilai agama yang dibentangkan oleh media berbanding elemen-elemen yang membinasakan manusia dan kemanusiaan?

TANGGUNGJAWAB IBU BAPA

Apakah masih wajar ibu bapa di dalam masyarakat kita terus cuai dalam memastikan keselamatan anak-anak? Saya merasakan bahawa kenangan saya semasa kecil dahulu, pergi ke pasar malam sendirian, sudah tinggal nostalgia kerana saya tidak lagi berani untuk melepaskan anak-anak seperti itu. Zaman sudah berubah.

Bagaimana pula dengan ibu bapa yang ghairah menyolekkan anak-anak untuk masuk pertandingan ratu cantik atau artis segera di usia setahun jagung? Selain Tuhan yang memerhati, tidak bimbangkah kita kepada manusia psycho yang mencari?

Sesungguhnya saya lebih menghargai Malaysia yang selamat, biar pun sederhana pembangunannya suatu ketika dahulu, berbanding Malaysia kini yang zahirnya gah, tetapi tercabut rasa tenteram dan selamat dari kehidupan kita semua. Inilah hukuman Allah bagi dunia yang membelakangkan-Nya.

DEMI MENCARI HIKMAH

Semua ini saya fikirkan, demi untuk mencari hikmah di sebalik ujian besar yang menimpa anakanda Nurin Jazlin. Mudah-mudahan peristiwa ngeri ini benar-benar dapat membangkitkan kesedaran di dalam masyarakat untuk melakukan sesuatu secara holistik.

Kaji secara mendalam, apakah yang menyumbang kepada tekanan mental rakyat Malaysia. Apa yang membinasakan institusi keluarga di Malaysia. Apakah yang telah berlaku di dalam masyarakat kita sehingga lahirnya seorang iblis yang bertindak membunuh anakanda Nurin Jazlin dengan cara yang begitu kejam dan mendebarkan.

MENGHARGAI AKHIRAT UNTUK MEMAKNAKAN DUNIA

Jika pembunuh Nurin Jazlin berjaya ditangkap, apakah hukuman dunia yang mampu kita kenakan ke atas? Apa sahaja hukuman yang kita bayangkan, tidak setimpal dengan apa yang telah beliau lakukan. Apatah lagi jika pembunuh itu terbukti bertanggungjawab ke atas kematian kanak-kanak lain!

Sekeras mana sekali pun hukuman yang dikenakan, pembunuh itu hanya dapat dibunuh sekali. Puaskah hati kita dengan hukuman itu? Adilkah jika seorang yang bertanggungjawab membunuh 10 orang hanya dapat dihukum bunuh sekali? Sepatutnya orang itu dibunuh, dihidupkan semula, dibunuh dan dihidupkan semula, berulang-ulang kali.

Berapa kali? 10 kali!

Maaf, hukum begitu tidak ada di dunia. Yang ada hanya di Sana, di Akhirat. Tanpa Akhirat, tiada justifikasi yang dapat dilakukan ke atas peristiwa yang menyayat hati ini.

Maka buat kedua ibu dan bapa Nurin serta ahli keluarga dan rakan taulan, lapangkanlah dada dengan keluasan Akhirat. Rapatkan diri kepada-Nya. Nurin kini di tempat yang terbaik untuknya di sisi Dia. Tabahkanlah hati dan teruskan kerjasama dengan pihak berkuasa hingga tertangkapnya iblis yang sedang berkeliaran itu.

PENDAKWAH

Bagi pendakwah pula, berilah kepada masyarakat apa yang menyumbang kesembuhan. Majlis ilmu bukan hanya majlis santapan akal, tetapi ia juga adalah majlis mengisi rohani dan mendidik hati. Jika manusia tidak mampu lagi tenang dengan cara lain, janganlah kedatangan mereka ke masjid dan surau, ke majlis ilmu kita, disakitkan lagi jiwa itu dengan bahan-bahan ceramah kita yang tidak berpijak di bumi nyata.

Back to basic… itulah kekuatan yang saya cari dan beri, untuk umat yang sedang sakit dan gering iman serta hati.

Saya semakin gementar untuk menghantar anak-anak ke masa depan itu.

Semoga Allah mencucurkan rahmat-Nya ke atas roh al-marhumah Nurin Jazlin Jazimin dan mengurniakan sabar dan lapang jiwa kepada seluruh ahli keluarganya…


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: