Kepercayaan Biasa VS Kepercayaan Luar Biasa

21 09 2007

Constantinople itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawanan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya”
Hakim, 4.422; Bukhari, Tarikh al-Saghir, 139; I. Hanbal, 4.335

Itulah janji Rasulullah SAW yang disampaikan kepada para sahabat dan seluruh umat.

Saya cuba menyelami bagaimanakah perasaan sahabat semasa mendengar kata-kata Baginda SAW ini.

“Malaysia suatu hari nanti akan menjadi juara Piala Dunia. Piala itu akan dijulang”, kata jurulatih pasukan Malaysia kepada pemain-pemainnya.

“Ishh, betul ke ni. Logik ke?”, rungut seorang pemain.

“Beda’ah je boss kita ni!”, kata seorang lagi pemain. Kampungnya di Perak.

“Hang cakap tengoq la kiri kanan”, keluh seorang lagi jaguh Malaysia yang datang dari Kedah.

Semua orang macam tidak percaya. Malaysia mahu menjulang Piala Dunia? Mahu menjulang piala yang hanya dijulang oleh Perancis, Argentina, Itali dan Brazil? Mampukah Malaysia?

Macam mengarut sahaja bunyinya.

Itu andaian saya untuk menyelami perasaan para sahabat apabila diberitahu oleh Baginda SAW bahawa pada suatu hari nanti kota sehebat Constantinople akan berada di tangan umat Islam.

Siapa umat Islam ketika itu? Sejauh mana kekuatan mereka itu? Bagaimana pula dengan Constantinople? Lebih mustahil dari misi Malaysia mahu menawan Piala Dunia.

Tetapi itulah cara Baginda SAW memotivasikan para sahabat.

KEPERCAYAAN BIASA

Percaya selepas melihat sesuatu, adalah kepercayaan yang biasa. Kepercayaan yang tiada nilai iman. Seperti pandangan biasa seorang pengujikaji di dalam makmal, yang hanya percaya kepada teorinya apabila ujikajinya berhasil.

Malah percaya selepas melihat sesuatu, jika tidak dididik maka boleh jadi seburuk kepercayaan Yahudi yang materialistik:

“Kami tidak akan sekali-kali beriman kepada kamu sehinggalah kamu tunjukkan kepada kami Allah itu secara terang dan nyata” (Al-Baqarah 2 : 55)

KEPERCAYAAN LUAR BIASA

Akan tetapi kepercayaan yang tinggi ialah percaya sebelum melihat, dan kita bekerja untuk melihat apa yang kita percaya.

Apabila sahabat itu beriman al-Siddiq dengan kebenaran Rasulullah SAW, maka soal janji sehebat penaklukan Constantinople tidak sukar untuk dipercayai. Sahabat percaya sebelum melihat, lantas mereka bekerja keras untuk melihat apa yang mereka percaya.

Kita belum pernah melihat Syurga, tetapi kita percaya sebelum melihatnya dan bekerja keras untuk melihat dan memperolehinya.

Kita belum pernah diazab untuk melihat Neraka, tetapi kita percaya sebelum melihatnya dan bekerja keras untuk menghindarkan diri darinya.

Mampukah kita percaya sebelum melihat dan kuatkah kita untuk bekerja bagi melihat apa yang kita percaya?

MANIS SEBELUM MANIS SELEPAS

Tanyalah anak muda yang mahu ‘melihat dan merasa semua’ sebelum bersedia untuk memberi komitmen pada sebuah perkahwinan. Apakah yang tinggal untuk dihargai? Apakah ada lagi kemanisan? Perkahwinan menjadi himpunan sepah terbuang.

Jika saya katakan bahawa carilah kebahagiaan pada mematuhi perintah Allah lantas bermujahadahlah menolak maksiat, anak muda harus menguji apakah mereka mampu untuk percaya sebelum melihat dan merasanya?

Fikir-fikirkanlah, sejauh mana keupayaan kita untuk yakin?

Ramadhan memerlukan daya keyakinan tinggi untuk membolehkan kita mendapat apa yang belum terlihat di depan mata. Dan bekerja keraslah untuk melihat apa yang kita percaya itu.

Moga setiap hari Ramadhan itu terisi dengan usaha merealisasikan keyakinan yang SATU itu… ameen.


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: