Amanat Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia

3 09 2007

Ucapan YDP GAMIS
Ustaz Dzulkhairi B Mohd Noor

Assalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

“Akan dibuka kota kontantinopel di tangan seorang lelaki: Maka sebaik-baik panglima adalah panglima mereka dan sebaik-baik tentera adalah tentera mereka”.

Saya sengaja memulakan bicara permulaan saya di kala ini dengan membaca hadis sebegini untuk menggambarkan inilah impian dan wawasan kita. Seolah-olah ingin saya nyatakan rasa hati saya, ingin sekali saya menjadi panglima terbaik yang bakal memimpin barisan tentera yang terbaik.

Saya seringkali bertemu dengan syabab yang inginkan perubahan. Saya seringkali bertemu dengan syabab yang bersemangat bergelora. Saya seringkali bertemu dengan syabab yang berjiwa revolusioner. Saya seringkali bertemu dengan syabab yang bersuara lantang. Malah, suara-suara yang bertali-arus seringkali terngiang-ngiang di cuping telinga saya. Semangat-semangat mereka yang terpancar sering mengganggu tidur saya. Jiwa-jiwa mereka yang berkobar-kobar membuatkan saya meloncat bersama-sama. Nah, saya kira inilah masanya. Masa yang terbaik untuk menterjemahkan segala keinginan kita. Masa yang paling jitu untuk menjelmakan upaya kita melalui aksi-aksi agresif kita. Masa yang paling padu untuk membentuk suatu ketumbukan yang terkepal utuh, tergenggam kukuh, untuk memberikan satu tumbukan bukan lagi tamparan yang tidak bisa dilupakan.

Ketua Helwani Ustazah Nor ‘ainaa Bajuri@Mok, barisan kepimpinan tertinggi Gamis, pimpinan-pimpinan Lajnah Politik dan Tarbiah, ketua-ketua setiap zon, presiden-presiden, pimpinan-pimpinan kampus serta ikhwah akhawat yang dikasihi sekalian.

Boleh jadi inilah pertemuan sulung secara besar-besaran yang kita adakan julung-julung kalinya setelah sebulan lebih pimpinan baru Gamis diberikan mandat memimpin. Mungkin boleh saya jelaskan bahawa tujuan yang paling utama ingin kita serlahkan melalui perhimpunan sebegini ialah:

“Menyuntik semangat yang terpendam dalam diri sekalian yang mewaqafkan diri dalam perjuangan, menunjukkan garis-garis yang seharusnya dilalui, serta memberikan satu signal bahawa, gerakan mahasiswa Islam kampus sudah bersedia untuk menggugah dan menggugat kembali serta menumbangkan lawan dalam Prk walau apa cara sekalipun”

Justeru pimpinan Gamis yang dijolokkan dengan gelaran war cabinet (kabinet perang) bersempena dengan pertempuran maut yang bakal kita hadapi yang pastinya menyajikan tindakan-tindakan biadap golongan berkuasa, kita kental meletakkan “Memacu Kebangkitan Merintis Kemenangan” sebagai visi kita yang paling utama.

Memacu kebangkitan bersuara. Memacu kebangkitan semangat. Memacu kebangkitan kesedaran. Memacu kebangkitan gerakan. Memacu kebangkitan perjuangan. Memacu kebangkitan perubahan. Memacu kebangkitan Islam. Tidak sekali-kali goyah. Jauh sekali rebah. Tidak terdetik perasaan goyah. Bagaikan panah yang rela diluncurkan ke mana sahaja. Bagaikan ular menyusur akar tidak hilang bisanya. Dilempar ke laut menjadi pulau. Mencabar dan terus mencabar. Mendesak dan terus mendesak. Menggugah dan terus menggugah.

Apakah kita tidak layak untuk tergolong dalam kumpulan yang disebut nabi: “Sentiasa wujud golongan daripada umatku yang menzahirkan kebenaran…”. Apakah kita tidak boleh digelar mujaddid lokaliti sebagaimana sabda nabi: “Sesungguhnya Allah menghantar setiap seratus tahun orang yang memperbaharui urusan agamanya”. Apakah kita tidak mungkin menjadi sang penguasa: “Dan kelak Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya…”

PILIHAN RAYA SEBAGAI MEDAN TARBIAH

Saudara-saudari adik-beradik yang dikasihi sekalian,
Seoang pahlawan handalan Islam berkata kepada Rustam: “Kami diutuskan untuk membebaskan manusia daripada kesempitan dunia menuju keluasan akhirat”. Sya’ir Abdullah bin Mubarak yang menyeru jihad Fudhail bin ‘Iyad: “Betapa debu-debu yang terlekat di kaki kuda perang lebih mulia berbanding dengan tangisan takutkan Allah”. Hadis menyatakan jihad lebih baik daripada ibadah yang berterusan. Ia tersimpul dalam satu slogan yang berkuasa: Nahnu Ansarullah.

Saudara-saudara pewaris perjuangan Nuruddin al-Zinki yang dikasihi,
Dunia sekarang dalam keadaan kacau bilau apabila ia tidak dipimpin oleh Islam. Situasi kebejatan moral, kerendahan budi pekerti, kemunduran gaya hidup dan berfikir, kejatuhan sistem sosial masyarakat, kepincangan gaya kepemimpinan,dan sebagainya menyaksikan kerosakan total kepada lapisan dunia. Jahiliyah menggantikan sistem Islam. Ini membenarkan pemikiran Mordechai, Karl Marx dalam menyahkan tauhid uluhiyah untuk ditukar gantikan dengan pementasan dan hiburan.

Waktu sempit mengekang kita daripada asyik berteori. Kita ingin dendangkan paluan jihad yang hanya memerlukan syabab yang kuat, serius, sentiasa kental dengan keazaman yang unggul, terus maju tidak mundur, lantang tidak pengecut, berjuang rela berkorban, berpadu bagaikan genggaman tangan, berslogankan Allah penguasa kami, Rasul penunjuk kami, Al-Quran perundangan kami, jihad jalan kami, dan syahid impian kami yang tertinggi.

Kemenangan dalam Prk bagi kita adalah apabila semua ahli bersemangat untuk bekerja dan terus bekerja tanpa merasa jemu sehingga pihak lawan tergugat dengan kehadiran kita. Kemenangan dalam Prk membawa maksud kita berjaya mendedahkan penyelewengan demi penyelewengan yang dibuat oleh musuh dalam merebahkan kita. Kemenangan dalam Prk bermaksud, kita berjaya menyampaikan satu mesej kepada semua mahasiswa, bahawa sekarang kita sedang dikongkong oleh belitan pemerintah yang menjunjung thaghut. Malah, kemenangan dalam Prk ialah apabila semua mahasiswa menyedari hakikat kehidupan Islam yang sebenarnya sehingga mereka semua sanggup bersama kita untuk terus menerus membongkar kebusukan politik dan mengikisnya habis-habisan.

Kita juga menuntut Pru yang adil sebagaimana kita menuntut Prk yang adil. Namun kita ingin katakan, bahawa kita sudah biasa bertempur dalam gelanggang yang becak, alatan yang sedikit, hujan yang lebat, di bawah kilat yang sabung menyabung, dan dalam takungan busuk najis sang pemerintah. Saya ingin gambarkan, bahawa gerakan Islam sangat memerlukan kita dalam menjayakan operasi kali ini, dan kita sendiri secara serentak, akan mewaqafkan diri dengan perjuangan Islam untuk mendaulatkan Islam kembali. Islam adalah agama pemerintah, bukan agama yang diperintah.

KEBANGKITAN MAHASISWA ISLAM

Kita telah menghantar dua wakil Gamis termasuk saya sendiri ke Multaqa al-Quds yang menghimpunkan puluhan pemuda Islam di seluruh dunia yang bertempat di Ismailiyah, Mesir. Kita juga telah mengadakan pertemuan dengan sahabat-sahabat seangkatan yang belajar di UK dan Ireland. Kita telah berbincang dengan pimpinan-pimpinan Pmram di Mesir. Malah, kita pernah mengadakan perbincangan serius tentang gerakan mahasiswa masa kini yang melibatkan seluruh kampus yang memakan waktu satu malam. Malah, banyak lagi agenda telah kita laku dan rancang.

Semua ini tidak lain dan tidak bukan, kita tegas melangkah lantang bersuara, kebangkitan gerakan mahasiswa Islam sudah tiba masanya dan kita sendiri sudah tidak sabar untuk mempamerkan wajah kita yang sebenar. Menawan kampus, bermakna kita menawan negara. Tarbiah yang kita terapkan selama ini, sudah meraung-raung untuk dilepaskan dalam bentuk yang lebih kental. Lalu, jiwa-jiwa dan hati-hati kecil kita bagaikan soldadu yang sedia menerima arahan untuk bertindak. Ya, kebangkitan ini, diumpakan tiupan angin lembut yang tiba-tiba meruap ganas. Ditiup gunung, gunung tercabut. Diterpa lautan, lautan bergelora.

Ibarat sang singa yang tidur panjang, bangun mencari buruan. Ibarat sang pengecut tiba-tiba menjadi sang pemberani. Ibarat yang tertidur tersedar daripada lenanya yang panjang. Tiba-tiba, titisan air kecil-kecilan itu menghancur leburkan batu besar yang keras.

Ia tidak boleh dilakukan dengan angan-angan, atau cakap-cakap kosong, atau impian yang dipasang terlalu tinggi tanpa revolusi bertindak, atau laungan yang sekadar berniat menakutkan. Sang burung tidak pernah jatuh dengan hanya tempikan suara orang di bawah. Bukit-bukau tidakkan runtuh dengan hanya sebilah kapak. Kita tidak boleh menjadi bagai anjing menyalak bukit, atau melepas batuk di tangga. Sesebuah tamadun tidak terbina dengan nostalgik-nostalgik semata. Sesebuah empayar tidakkan terwujud dengan hanya berbangga dengan tokoh-tokoh lama.

“Bukan seorang pemuda yang berkata, inilah bapaku, inilah saudaraku. Akan tetapi pemuda yang sebenar ialah yang berkata: Inilah aku”.

Praktikal, jangan hanya teoretikal. Laksana, jangan hanya simbolika. Bekerja, jangan hanya nostalgia. Lateral, nyahkan vertikel. Perwira, nyahkan kebaculan. Kita mestilah berminda negarawan, memiliki daya pemikiran sebuah kerajaan.

HARI INI LANGKAH PERKASA BERMULA

Saudara-saudari rakan-rakan seperjuangan yang dihormati,

Ayuh, gerakan lantang yang dirasai mesti wujud. Gerakan agresif lagi matang perlu dibina. Gerakan berani bersendikan plan tindakan mesti dicorak. Gerakan ini tidak boleh dibina dengan semangat melulu semata-mata, malah ia perlukan perancangan yang strategik, tersusun, bijak, dan merentas masa depan. Kita perlukan daya pemikiran mencapah yang keluar daripada adat kebiasaan berfikir, malah menongkah arus. Kita perlu menjadi ketumbukan pemuda yang bijaksana, sarat dengan pandangan dan idea serta movement yang munazzamah.

Al-Fatih menarik kapal-kapal yang berat di atas bukit-bukau, seolah-olah ia menjadikan puncak-puncak bukit itu seperti gelombang di lautan. Ia mempelbagaikan strategi peperangan. Seketika, mereka menggali terowong bawah tanah. Seketika, mereka mencipta meriam terbesar. Seketika, mereka menarik musuh-musuh bersama mereka. Mereka menggunakan segala kemudahan dan teknologi untuk mempermudahkan strategi mereka.
Tariq bin Ziyad membakar kapal-kapal perang mereka sendiri, agar tentera Islam tidak lagi mundur ke belakang, sebaliknya menjadikan mati sebagai impian. Solahuddin al-Ayyubi menawan tempat-tempat sekeliling sebelum menawan sasaran utama.

STRATEGI-STRATEGI

1-Seorang komando setaraf dengan 1000 tentera: Pepatah cina ada menyebut: “Dengan hanya seorang manusia yang mengawal di pergunungan, 10 000 orang tidak lepas lalu”.

2-Mengetahui kekuatan sendiri dan musuh: “Kenali musuh dan kenali diri anda sendiri, anda pasti tidak tertewas meskipun dalam 100 pertempuran.

3-Bijak membaca perancangan musuh: “Sekilas ikan di laut, kutahu jantan dan betinanya”.

4-Serangan mengejut: “Serang apabila musuh tidak berkawal untuk bertempur secara mengejut”.

5-Tunggu saat terbaik untuk bertarung: “Apabila berada dekat dengan medan pertempuran, mereka menunggu musuh yang datang dari jauh. Semasa berehat, mereka menanti musuh yang keletihan, dengan tenteranya yang kekenyangan, mereka menanti musuh yang kelaparan. Jauhi musuh yang semangat juang mereka sedang berkobar-kobar dan serang apabila mereka lemah semangat dan rindukan kampung halaman. Jangan serang musuh yang mara dengan panji-panji yang cukup teratur, mahupun musuh yang barisannya tersusun rapi”.

6-Perang saraf (psy-war): “Mencapai 100 kemenangan dalam 100 pertempuran bukanlah puncak kemahiran. Sebaliknya mengalahkan musuh tanpa bertempur itulah mercu kecemerlangan.

7-Penyamaran: Tang Taizong berkata kepada Li Jing, “Angkatan biasa tentera saya yang tampak seperti luar biasa pada pandangan musuh, manakala angkatan luar biasa saya pula tampak biasa sahaja. Inilah yang dikatakan muslihat. Angkatan luar biasa tampak biasa dan yang biasa tampak luar biasa; perubahannya memang tidak dapat diduga”.

8-Mengambil tempat strategik: Sebagaimana Hubbab al-Munzir yang mencadangkan supaya tentera Islam mengambil tempat yang dapat menghalang musuh daripada mendapatkan air.
Sabda nabi SAW: Berbahagialah kepada hamba yang mengambil pecutan kuda masing-masing (berada dalam posisi), rambutnya kusut-masai dan kakinya berdebu, jika ia menjadi panglima, ia bertindak sebagai panglima, dan jika ia menjadi pengawal, ia bertindak sebagai pengawal”.

Seorang komando ibarat ular yang gesit. Dipalu di ekor, kepalanya bertindak. Dipukul di kepala, ekornya memukul. Dipukul bahagian tengah, kedua-duanya bertindak serentak, dan pasti hasilnya sangat mengerikan. Kadang-kadang, ia berlembut dengan lawan, sedangkan perancangan belakang dilaksanakan di luar kawalan kesedaran. Merekalah yang memainkan peranan, mencorakkan suasana, mewarnai sejarah, tampak biasa pada pandangan musuh walhal merekalah pemain catur handalan yang digeruni.

Kadang-kadang, tempat yang paling selamat ialah kubu musuh. Seorang tentera biasa dalam permainan catur, bisa menjadi permaisuri berkuasa. Castle dengan strategi lurus, sedangkan Bishop melencong. Malah, Knight melakukan gerakan mengelirukan. King tidak perlu bergerak pantas, tetapi ia bertindak sebagai pemutus dan perancang utama.

Saudara-saudari,

Telah saya dedahkan beberapa strategi kepada saudara-saudari. Saya hanya mempunyai satu mesej yang sangat berharga, bahawa kita tidak mampu mencapai sebarang kemenangan jika kita hanya melaungkan kata-kata semangat tanpa perancangan yang bijak. Atur langkah, lakukan risikan, bantu di peringkat culaan, turun ke kawasan-kawasan, bertindak agresif, jangan mundur terus maju, bergerak, bergerak, bergerak, laju dan laju sekali, pantas sungguh kencang, diiringi keimanan dan ibadat yang berpanjangan; mudah-mudahan tidak sia-sia pertemuan kita di hari yang bangat ini.

Allahu akbar (3 x)


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: