Makanan Segera vs. Ilmu Segera (BUKU vs. ARTIKEL)

3 04 2007

March 10, 2007

Posted by Hasrizal Abdul Jamil in Kampus. trackback

“Boleh saya tanya sesuatu?”, saya cuba meramahkan diri.

“Silakan!”, kata Yilmaz, ketua kumpulan itu.

“Saya perhatikan saudara-saudara semua membaca Risalah al-Nur dari pagi hingga ke malam. Kenapa tidak ada buku lain yang dibaca sama?”, saya meluahkan apa yang terbuku di hati.Yilmaz tersenyum.

Beliau adalah ketua di asrama Nurcular yang saya tumpangi. Nurcular merujuk kepada mereka yang mengikut gerakan Nurcu yang dipimpin oleh Fethullah Gulen, yang dianggap sebagai kesinambungan warisan Badiuzzaman Said al-Nursi.

“Saudaraku, tidakkah kamu berasa hairan? Kita hanya ada satu Tuhan, satu Nabi dan satu Kitab, tetapi bagaimanakah boleh terjadinya begitu banyak pandangan dan mazhab?”, kata Yilmaz.

Saya menggaru kepala.“Badiuzzaman Said al-Nursi telah belajar dengan beribu-ribu ulama sebelum beliau menulis Risalah al-Nur ini. Semua jawapan kepada semua masalah ada dalam Risalah ini. Apabila kita membaca Risalah al-Nur, bermakna kita telah belajar dengan beribu-ribu ulama, tanpa perlu berselisih pendapat!”, jawab Yilmaz dengan penuh yakin.

Saya hampir pitam mendengar jawapan beliau. Pening dan terus mohon izin masuk ke bilik untuk ketawa dan menangis.Cerita itu sudah lama berlaku. Sekitar tahun 1995 di
Konya.

BENGANG BALIK

Tetapi hari ini bengang itu timbul kembali. Bengang kerana adik-adik di kampus tidak habis-habis bertelagah. Dari satu isu kepada satu isu.Bid’ah Hasanah vs. Bid’ah Dhalalah, Sunni vs. Syiah, Al-Ghazzali vs. Ibn Taimiyyah dan senarai itu berterusan.

Apabila perbalahan menuntut sandaran, ada pula yang mencadangkan kepada seterunya agar membaca artikel Ustaz Hasrizal yang ini dan yang itu. Tanpa disedari, saya diheret ke perdebatan sesama mereka walaupun sering benar apa yang saya tulis, berlainan dengan apa yang mereka perbalahkan.

Lantas perbuatan menyandarkan diskusi kepada artikel saya, atau mana-mana artikel lain menimbulkan pelbagai reaksi.


Ada pendidik yang mencela penulis artikel. Kata mereka kepada pelajar yang hobinya berbalah ini, “kamu kenal siapa penulis artikel itu?
Apa sejarahnya, siapa dia dahulunya? Mahu mengutamakan penulis artikel ini berbanding Imam-imam dan ilmuan Islam yang muktabar?”Ada pula pelajar yang cabar mencabar bertanya, “apakah kamu sangka kamu sudah tahu benar, hanya kerana sudah membaca artikel Ustaz Hasrizal dan penulis-penulis yang lain?”.

Malah peribadi saya pun diperkatakan sama… sejauh mana kredibiliti saya sebagai ahli sejarah? Setakat mana buku yang saya baca… dan macam-macam lagi.Membanding dan melagakan artikel dengan buku, adalah suatu kebodohan dalam tradisi menuntut ilmu.

Jarang saya menggunakan perkataan seperti ini.Kadang-kadang saya rasa dunia ini sudah gila. Kemudahan menulis di internet ini sudah menjadi seperti gula. Semasa sikit-sikit jadi pemanis. Tetapi bila dah banyak, jadi pembunuh dan ramai yang mati.

ARTIKEL BUKAN BUKU

Di dalam mana-mana artikel sekali pun, penulis tidak mungkin dapat dibebankan dengan nota kaki dan salinan rujukan. Ia bukan format artikel. Lainlah kalau jurnal akademik. Kesemua editor majalah meletakkan had perkataan dan skop penulisan yang mesti dipatuhi oleh penulis, sesuai dengan ruang majalah yang amat terhad.

Oleh yang demikian, artikel bukan gelanggang ilmu. Ia adalah medan mencetus idea. Dalam erti kata yang lain, kita tidak sepatutnya menganggap yang kita telah tahu, hanya kerana kita telah membaca artikel di majalah tertentu. Menamatkan ’sandaran tahu’ hanya kepada artikel di majalah, menjadikan kita ini taqlid kepada penulis semata.

Artikel hanya pencetus idea. Ia merumuskan pembacaan, pengalaman dan analisa penulis. Tetapi artikel itu jauh daripada berupaya mendatangkan semua pengalaman penulis sebelum dan semasa menulis.

Misalnya, apabila saya menulis artikel “AKHIRNYA KU TEMUI AL-GHAZZALI”, ia adalah rumusan kepada pembacaan saya yang melibatkan beberapa buah buku, dan saya mengambil masa beberapa bulan sebelum berasa yakin dengan apa yang saya fikir. Tiba-tiba, ramai yang membaca artikel saya turut sama BERTEMU DENGAN AL-GHAZZALI mereka. Walhal mereka hanya berjumpa dengan al-Ghazzali saya, bukan al-Ghazzali mereka!

Maksud saya, gunakanlah artikel saya untuk melakar usaha masing-masing pula dalam pembacaan tentang al-Ghazzali.

Begitu juga, apabila saya menulis tentang gerakan Wahhabi, ia adalah rumusan saya terhadap pembacaan saya yang melibatkan banyak buku dan banyak tahun. Termasuk juga salinan-salinan dokumen pegawai British, manuskrip Othmaniyyah, dan sumber-sumber kawan juga lawan. Maka gunakanlah artikel saya itu untuk anda pula membaca.

SALAHKAN PEMBACA, BUKAN PENULIS

Jika mahu salah menyalahkan sesama kita, janganlah fenomena ini dibebankan ke atas penulis artikel. Sepatutnya pembaca sedar, apa tanggungjawab mereka. Bagi peminat Majalah I, apa yang ditulis oleh penulis, jadikan ia sebagai alat untuk diri anda mengkaji. Tidak wajar bagi seorang murid ilmu, menyandarkan ibadah dan perjuangannya kepada artikel.

Saya masih ingat, semasa saya masih belajar di peringkat undergraduate, saya hidup di dunia yang berlainan dari dunia sekarang. Tanpa internet, telefon bimbit dan khidmat sms, dunia saya sudah amat berlainan dengan dunia hari ini.

Pada masa itu, untuk saya membuat pertimbangan tentang satu-satu hukum dan ilmu, jalannya payah. Kerana kepayahan itu, dan demi cinta saya kepada menambah TAHU, saya redah padang pasir yang memisahkan Mu’tah dengan Amman sekira-kira 250km, setiap minggu bertahun-tahun, demi untuk belajar, walaupun hasil belajar itu hanya selembar ilmu.

Tetapi saya yakin, perjalanan yang payah dalam usaha mendapatkan ilmu juga maklumat, telah secara tidak langsung menyedarkan diri dengan banyak perkara. Dapat ilmu pun sedikit demi sedikit, seminggu demi seminggu. Sempatlah dalam senggang seminggu itu, ilmu minggu lalu direnung dan ditimbang, sebelum datang ilmu baru.Namun hari ini, keadaan sudah jadi rumit. Jika dahulu, saya diberi masa sebulan untuk selesaikan Takhrij Hadith.

Tetapi hari ini, takhrij siap hanya dengan sepunat tekan di hujung jari. Semua yang dahulunya payah, kini di internet bersepah-sepah.Sebagaimana orang sekarang sakit kerana makanan segera, begitu jugalah agaknya siswa siswi hari ini berpenyakit kerana menjamah ‘ilmu segera’.

Serabut…. serabut…

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com 


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: